Pusat-pusat pengundian ditutup pukul 1 tengah hari sebaik sahaja pengundi selesai melaksanakan tanggungjawab mereka manakala kawalan keselamatan di pusat-pusat pengundian itu dikatakan ‘longgar’ walaupun polis memaklumkan 66,000 anggotanya telah ditempatkan di seluruh ibu kota ini.
Pusingan pertama pilihan raya berkenaan yang turut dikenali sebagai Pilihan Raya Ketua Daerah (Pilkada) bagi Daerah Khusus Jakarta telah berlangsung bulan Februari lalu.
Namun pusingan kedua terpaksa diadakan berikutan tiada calon yang melepasi undi majoriti melebihi 50 peratus.
Pada pusingan pertama Ahok dan pasangannya, Djarot Saiful Hidayat mendahului pungutan undi sebanyak 44.17 peratus dan Anies dan Sandiaga Salahuddin Uno menerima 39.55 peratus undi.
Anak sulung bekas Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyon, Agus Harimurti Yudhoyono hanya mendapat 16.27 peratus undi seterusnya terkeluar daripada pertandingan pusingan kedua.
Jurucakap polis Jakarta, Argo Yuwono berkata, pihaknya menahan dan memeriksa kenderaan yang menuju ke bandar raya ini bagi memastikan tiada ‘pergerakan besar-besaran ke ibu kota ini’.
Di Jawa pula pihak polis turut mengadakan pemeriksaan terhadap kenderaan persendirian dan bas awam yang menuju ke Jakarta bagi mengesan objek tajam dan bahan letupan.
Pilihan raya berkenaan dicemari dengan pelbagai insiden termasuk tunjuk perasaan besar-besaran yang disertai lebih 100,000 penduduk Islam yang membantah pencalonan Ahok kerana didakwa menghina al-Quran.(*)